Sabtu, Ogos 29, 2009

Karangan 1 : Rencana

Karangan Contoh

Pelajar-pelajar 4Y, 4U dan 4K yang menggunakan blog dalam penulisan karangan diminta membaca karangan contoh ini, kemudian menulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 350 patah perkataan.

Tajuk Karangan

Anda dikehendaki menulis sebuah rencana bertajuk" Kepentingan padang permainan dan taman rekreasi di kawasan perumahan".



Kepentingan Padang Permainan dan Taman Rekreasi di Kawasan Perumahan

Oleh: Uda Iryani binti Afendi


Sungutan banyak dibuat oleh penghuni-penghuni kawasan perumahan melalui media massa mengenai masalah ketiadaan padang permainan dan taman rekreasi di kawasan mereka. Serentak dengan itu, kerajaan telah menggesa pemaju-pemaju perumahan agar prihatin dengan sungutan berkenaan. Saya sendiri menyokong gesaan pihak berkuasa itu memandangkan pentingnya kedua-dua kemudahan itu disediakan di kawasan-kawasan perumahan.

Pembinaan kebanyakan rumah kos rendah di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban dan Johor Bharu tidak menurut spesifikasi piawai yang ditetapkan. Kebanyakan rumah bersaiz kecil itu Cuma selesa untuk menampung keluarga asas sahaja. Antara sebabnya ialah permintaan rumah begitu banyak sedangkan tapak untuk projek perumahan kian berkurangan keranan pertambahan pesat penduduk. Dalam hubungan inilah, padang permainan dan taman rekreasi amat diperlukan kerana dapat member keselesaan hidup kepada warga-warganya.

Padang permainan penting kepada anak-anak yang masih kecil untuk proses tumbesaran yang seimbang. Di sinilah tempat mereka hendak bermain dan berkejar-kejar antara satu sama lain. Kegiatan di luar rumah ini menjadikan anak-anak sebagai manusia yang pintar, cergas dan cekap. Di sinilah tempat mereka berjumpa dengan kawan-kawan sepermainan.

Pemupukan nilai-nilai positif dalam kalangan anak-anak yang masih rebung dapat dilihat menerusi hubungan tidak formal di padang permainan dan di taman rekreasi. Apabila dewas kelak, mereka sudah tahu menghormati nilai-nilai hidup bersama khususnya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Mereka tahu menghargai kepentingan kemudahan-kemudahan awam yang banyak disediakan di kawasan-kawasan perumahan. Sekaligus itu pula, perpaduan nasional sudah dapat dibina pada peringkat rebung lagi.

Saiz rumah yang kecil dan sempit menyebabkan anak-anak remaja berasa bosan untuk tinggal di rumah. Mereka lebih suka melepak di tempat awam seperti pasar raya untuk melepaskan kebosanan tinggal di rumah. Akhirnya, banyak kalangan anak remaja yang terjebak dengan kegiatan yang tidak diingini seperti ketagihan dadah, ganja, menghidu gam dan melepak. Gejala ini menyebabkan negara juga yang rugi kerana kita kehilangan tenaga muda yang produktif. Oleh itu, taman rekreasi diharap dapat mengurangkan gejala buruk ini. Remaja boleh melepaskan kesunyian dan kebosanan di rumah dengan bersiar-siar di taman rekreasi ini.

Taman rekreasi juga dapat melepaskan ketegangan atau tekanan terutama kepada mereka yang bekerja di kawasan yang sesak dengan lalu lintas seperti Kuala Lumpur. Kesibukan bertugas di tempat kerja dan kemudian ditambah dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan warga kota terhimpit dalam ketegangan yang hebat. Walaupun keluar dari pejabat jam lima petang, tetapi tidak mustahil ada yang sampai di rumah jam sembilan atau sepuluh malam. Oleh sebab itu, taman rekreasi diperlukan untuk berjoging, berjalan kaki, bersenam dan pelbagai aktiviti riadah. Ingatlah bahawa otak yang cerdas datangnya daripada badan yang sihat. Sementara itu, badan yang sihat datangnya daripada senaman dan latihan yang dilakukan setiap hari. Pada hari minggu dan cuti awam, padang permainan dan taman rekreasi dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Interaksi dan kemesraan warga taman perumahan dengan alam dapat terjalin melalui taman rekreasi. Kemesraan alam amat penting kepada manusia sebab mengajar kita menjaga kebersihan alam. Mesra alam juga member peluang kepada setiap insane untuk menikmati ketenangan, kesentosaan dan kehormonian.

Padang permainan dan taman rekreasi juga dapat memupuk hubungan silaturrahim dalam kalangan warga sesebuah kawasan perumahan. Warga kota biasanya kurang mengamalkan konsep kejiranan kerana masing-masing sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing.

Rencana ini dapat menyimpulkan bahawa padang permainan dan taman rekreasi amat penting kepada para penghuni kawasan-kawasn perumahan. Oleh itu, pemaju-pemaju perumahan janganlah terlalu memikirkan keuntungan sahaja sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat bagi menyediakan padang permainan dan taman rekreasi. Masyarakat yang sihat datang daripada kawasan persekitaran yang sihat juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan