Sungai Pinang dan Sungai Kelang antara sungai yang cukup terkenal dengan isu pencemaran yang serius. Isu pencemaran sungai ini telah lama mendapat perhatian dan dijadikan bahan perbincangan dalam pelbagai media massa. Isu ini dijangka akan terus menjadi buah mulut atau topik perbincangan dalam konteks pengurusan sumber bekalan air untuk rakyat di negara ini. Oleh sebab kurangnya perancangan dan pengawalan rapi ke atas sumber-sumber air di negara ini, maka timbullah isu pencemaran air. Jika langkah mengatasinya tidak diambil, kita akan menghadapi krisis air suatu masa nanti.
Sungai dicemari dengan lautan sampah yang dibuang dengan sewenang-wenangnya sama ada oleh penduduk di tepi sungai. Sungai menjadi tempat pembuangan sampah-sarap. Hal ini disebabkan kegagalan pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan tong-tong sampah dan mengangkut sampah mengikut jadual yang ditetapkan. Akibatnya, sungai menjadi tempat alternatif pembuangan sisa-sisa yang dihasilkan.
Pembuangan sisa-sisa toksik dan kotoran dari kilang ataupun ladang ternakan memburukkan keadaan sungai yang ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kilang-kilang dan ladang ternakan yang terletak berhampiran dengan sungai memilih sungai sebagai kawasan pelupusan dan pembuangan sisa-sisa dan kotoran yang terhasil. Akibatnya, kualiti air terjejas dan membahayakan kesihatan penduduk di kawasan sekeliling yang menjadi air sungai sebagai sumber bekalan air mereka.
Di samping itu, penerokaan atau penggondolan hutan bagi aktiviti pembalakan juga menyumbang kepada berlakunya pencemaran air sungai. Air sungai menjadi cetek akibat timbunan kelodak dan pasir yang berpunca daripada aktiviti pembalakan yang tidak dikawal. Aktiviti ini menyebabkan air sungai menjadi cetek dan hidupan di dalam sungai akan mati.
Kita memerlukan bekalan air bersih agar dapat terus hidup dengan sihat. Oleh hal yang demikian, satu sistem pengurusan air yang sistematik dan berkesan perlu diwujudkan. Satu badan khas perlu ditubuhkan untuk memantau sumber dan kualiti air di negara kita. Pemantauan perlu dijalankan secara konsisten untuk memastikan sumber air tidak tercemar.
Indah Water Konsortium atau IWK perlu memainkan peranan yang lebih efektif bagi merawat air kumbahan menjadi air yang bersih dan seterusnya menyalirkan air yang telah dirawat ke dalam sungai semula. Di samping itu, Indah Water Konsortium yang diberi tanggungjawab menguruskan kumbahan najis manusia dan binatang ternakan harus merangka satu sistem pengurusan kumbahan-kumbahan ini secara cekap agar tidak mencemarkan air sungai.
Isu pencemaran air tidak boleh dibiarkan terus berleluasa tanpa kawalan dan pengawasan oleh pihak berkuasa. Jangan sampai sudah terhantuk, baru tergadah kerana tanpa air bersih kualiti hidup manusia akan terjejas. Seperti slogan yang selalu dilaung-laungkan "Cintailah Sungai Kita", marilah kita mencintai sungai kita dengan tidak membuang sampah-sarap ke dalam sungai.
Cara mengatasi stres
3 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan