Semangat Perpaduan
Dewasa ini, semangat perpaduan yang amat penting untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup telah meluntur dalam kalangan masyarakat. Memandangkan perkara ini kian serius, langkah-langkah yang proaktif haruslah diambil untuk menyemai semangat perpaduan dalam semua lapisan masyarakat kususnya golongan remaja kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara kita. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk menyuntik semangat perpaduan dalam diri anak-anak kerana anak-anak merupakan kain putih dan ibu bapa bertanggungjawab mewarnakan mereka.Ibu bapa merupakan modal insan kepada anak-anak. Oleh itu, amatlah penting untuk ibu bapa mengamalkan semangat perpaduan yang dalam kehidupan supaya docontohi anak-anak. Semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak dengan cara bercerita. Bagaimana? Mudah sahaja. Ibu bapa harus menceritakan sejarah negara kita kepada anak-anak tentang bertapa susahnya negara kita ini mencapai kemerdekaan, jasa-jasa pemimpin kita untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak dapat memahami tentang kepentingannya perpaduan yang diamal dan diwarisi selama ini dan secara langsung, semangat perpaduan dapat ditanam hati mereka.
Sejajar dengan itu, semangat perpaduan juga dapat disemai melalui satu pergerakan yang mudah sahaja, iaitu bertegur-sapa dengan jiran apabila tersempak. Sepatah kata "helo" ataupun satu senyuman sudahpun mencukupi. Dengan cara ini, Pertelingkahan dan perselisihan faham dapat dielakkan. Secara tidak langsung, semangat perpaduan yang jitu dapatlah disemaikan. Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka bertegur sapa dengan jiran tetangga, mereka akan mencontohi gaya atau perbuatan ibu bapa mereka kerana ibu bapa ialah "role model" bagi anak-anak. Melalui cara ini, semangat perpaduan bukan sahaja disemai dalam orang dewasa, ia juga dapat dipupuk dalam diri anak-anak.
Mengadakan rumah terbuka turut merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk memupuk semangat perpaduan. Biasanya rumah terbuka akan diadakan sempena musim perayaan. Tidak kira anda merupakan orang yang mungudang atau orang yang diundang, anda hanya perlu berseronok dalam majlis tersebut. Semua prejudis harus "dibuang" dan cubalah berkawan dengan mereka yang berlainan kaum tidak kira anda adalah orang dewasa, remaja ataupun kanak-kanak. Dengan ini, semangat perpaduan dapat ditanam di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
Untuk menanam semangat perpaduan dalam masyarakat, amat penting untuk kami memahami dan menghormati adat resam kaum lain kerana negara kita ini berbilang kaum. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak untuk memahami dan menghormati adat resam kaum lain sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak memahami adat resam kaum lain, prejudis anak-anak terhadap kaum lain dapat dihapuskan manakala hubungan erat serta semangat perpaduan yang dalam dapat disemai jika adat dihormati dan bukannya dipandang rendah.
Konklusinya, sesebuah negara hanya akan bertambah maju sekiranya rakyatnya bersatu padu kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kunci untuk mencapai sebuah masyarakat yang harmoni adalah semangat perpaduan. Justeru, semangat perpaduan haruslah dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana nasib negara bergantung kepada mereka kelak,
Komen:
2. penggunaan kosa kata tidak tepat seperti modal insan (anak-anak merupakan modal insan yang perlu dididik) bukan ibu bapa
3. huraian isi kurang dapat menunjukkan cara semangat perpaduan dapat dipupuk dalam jiwa anak-anak.
* cikgu hanya cuba membaiki mengikut apa yang telah ditulis.
Sejarah telah membuktikan bahawa negara yang kuat dan maju merupakan negara yang terdiri daripada rakyatnya yang mempunyai semangat perpaduan yang utuh. Semangat perpaduan amat penting untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat apatlah masyarakat yang berbilang bangsa. Memandangkan semangat perpaduan kian luntur dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa di negara kita, langkah-langkah yang proaktif haruslah diambil untuk menyemai semangat perpaduan dalam semua lapisan masyarakat kususnya golongan remaja kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara kita. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk menyuntik semangat perpaduan dalam diri anak-anak kerana anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa bertanggungjawab mewarnakan mereka.
Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak. Oleh itu, amatlah penting untuk ibu bapa mengamalkan semangat perpaduan dalam kehidupan supaya dicontohi anak-anak. Semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak dengan cara bercerita. Bagaimana? Mudah sahaja, ibu bapa harus menceritakan sejarah negara kita kepada anak-anak tentang betapa susahnya negara kita ini mencapai kemerdekaa. Jasa-jasa pemimpin kita dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak dapat memahami kepentingan perpaduan yang diamalkan dan diwarisi selama ini. Hal ini secara langsung dapat menanam semangat perpaduan dalam hati anak-anak mereka.
Sejajar dengan itu, semangat perpaduan juga dapat disemai melalui satu amalan yang mudah sahaja, iaitu bertegur-sapa dengan jiran apabila terserempak. Sepatah kata "helo" ataupun satu senyuman sudahpun mencukupi. Dengan cara ini, hubungan baik dapat dipupuk antara jiran serta mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham. Secara tidak langsung, semangat perpaduan yang jitu dapatlah disemai dalam jiwa anak-anak. Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka bertegur sapa dengan jiran tetangga, mereka akan mencontohi amalan atau perbuatan ibu bapa mereka kerana ibu bapa ialah "role model" bagi anak-anak. Melalui cara ini, semangat perpaduan bukan sahaja disemai antara jiran tetapi dalam diri anak-anak.
Mengadakan rumah terbuka turut merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk memupuk semangat perpaduan. Biasanya rumah terbuka akan diadakan sempena musim perayaan. Tidak kira anda merupakan orang yang mengundang atau orang yang diundang. Rumah terbuka membuka dan menyediakan peluang yang cukup baik untuk interaksi rakyat berbilang kaum. Semua prejudis harus "dibuang" dan cuba mengenali budaya dan sambutan perayaan kaum lain. Memahami dan mengenali budaya dan perayaan kaum lain mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan perbuatan yang boleh menyinggung perasaan dan yang menunjukkan rasa tidak hormat kepada kaum lain. Dengan ini, semangat perpaduan dapat ditanam di samping mengeratkan hubungan silaturahim. Anak-anak yang mengenali budaya kaum yang berlainan sejak kecil lagi pasti akan belajar untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa yang merupakan elemen penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu.
Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak untuk memahami dan menghormati adat resam kaum lain sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak memahami adat resam kaum lain, prejudis anak-anak terhadap kaum lain dapat dihapuskan manakala hubungan erat serta semangat perpaduan yang dalam dapat disemai jika adat dihormati dan bukannya dipandang rendah.
Konklusinya, sesebuah negara hanya akan bertambah maju sekiranya rakyatnya bersatu padu kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kunci untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni adalah semangat perpaduan. Justeru, semangat perpaduan haruslah dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara hanya dapat dikekalkan dengan adanya generasi pelapis yang bersatu padu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan